Membaca qunut di dalam solat Subuh
Ia termasuk di dalam perkara-perkara sunat di dalam solat mengikut mazhab al-Syafie.
Dibaca semasa i’tidal pada rakaat yang ke-2 solat Subuh
(al-Fiqh al-Manhaji, 89)
Berdasarkan hadith Anas bin Malik RA:
مَا زَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْنُتُ فِي الْفَجْرِ حَتَّى فَارَقَ الدُّنْيَا
Maksudnya: “Rasulullah SAW berterusan qunut di dalam solat subuh sehingga Baginda SAW berpisah daripada dunia (wafat).” [Riwayat Ahmad (12657)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah dhaif kerana seorang perawi bernama Abu Ja’far al-Razi seorang yang buruk hafalannya dan hafalannya itu bertentangan dengan riwayat perawi-perawi lain yang thiqah (dipercayai)][Imam al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid menyatakan riwayat ini perawi-perawinya adalah thiqah (dipercayai)]
Dan daripada al-Barra’ bin Azib berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْنُتُ فِي صَلَاةِ الصُّبْحِ وَالمَغْرِبِ
Maksudnya: “Adapun Nabi SAW berqunut pada solat Subuh dan Maghrib.” [Riwayat al-Tirmizi (401)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih]
Imam al-Nawawi berkata, terdapat 2 pandangan yang masyhur iaitu:
1. Tidak disunatkan dan ini merupakan pilihan al-Qaffal, al-Baghawi dan Imam al-Syirazi dengan berdalilkan bahawa berdoa di dalam solat tidak perlu diangkat tangan sepertimana juga berdoa di dalam sujud dan tasyahhud.
2. Disunatkan mengangkat tangan dan ini adalah pendapat yang sahih di sisi ashab bermazhab al-Syafie dan juga sahih pada dalilnya. Imam al-Baihaqi berhujah dengan apa yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih atau hasan daripada Anas bin Malik RA pada kisah Qurra’ (ahli Quran) yang telah dibunuh:
لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كُلَّمَا صَلَّى الْغَدَاةَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ يَدْعُو عَلَيْهِمْ يَعْنِي عَلَى الَّذِينَ قَتَلُوهُمْ
Maksudnya: “Aku telah melihat Rasulullah SAW setiap kali melakukan solat Subuh, Baginda SAW akan mengangkat tangan dan berdoa ke atas mereka iaitu orang yang telah membunuh para sahabat yang menghafal al-Quran.” [Riwayat al-Baihaqi (3145)]
Imam al-Baihaqi berkata lagi bahawa terdapat sebilangan sahabat yang mengangkat tangan mereka ketika qunut sebagaimana diriwayatkan oleh Abi Rafi’:
صَلَّيْتُ خَلْفَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَقَنَتَ بَعْدَ الرُّكُوعِ وَرَفَعَ يَدَيْهِ وَجَهَرَ بِالدُّعَاءِ
Maksudnya: “Aku telah solat dibelakang Umar bin al-Khattab RA, maka beliau berqunut selepas daripada ruku’ dan beliau mengangkat kedua tangan dengan menguatkan suara ketika berdoa.” [Riwayat al-Baihaqi (3150)][Imam al-Baihaqi menyatakan riwayat daripada Umar bin al-Khattab ini adalah sahih]
Kesimpulannya, masalah ini adalah masalah khilaf dalam kalangan ahli ilmu.
Ramai yang cenderung mambaca qunut kerana, terdapat sebuah hadith yang menceritakan akan kelebihan mengangkat tangan ketika berdoa, daripada Salman al-Farisi RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Maha Hidup lagi Maha Mulia malu jika seorang lelaki itu mengangkat kedua tangannya kepada-Nya serta memulangkannya dalam keadaan kosong yang tidak membawa hasil”. [Riwayat al-Tirmizi (3556)][Hadith ini dinilai hasan gharib oleh Imam al-Tirmizi]
-petikan daripada laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
